Saturday, March 29, 2008

HEPATITIS B LEBIH MUDAH BERJANGKIT

BERITA HARIAN : Kesihatan Anak
Oleh Hafizah Iszahanid

TANPA rawatan, bayi baru lahir juga berisiko tinggi untuk menjadi pembawa HBV

JANGAN culas jika sepanjang kehamilan, anda perlu melalui pemeriksaan setiap bulan. Jangan berkira mengenai masa yang perlu diperuntukkan jika terpaksa membuat pelbagai ujian tertentu sepanjang kehamilan itu.

Ujian seperti ini bukan saja mengesahkan keadaan kesihatan anda tetapi juga mempengaruhi janin. Misalnya bagi seorang wanita hamil yang dijangkiti virus hepatitis B, wujud risiko ia akan berjangkit pada fetus.

Sama ada bayi akan dijangkiti virus, bergantung pada bila jangkitan terjadi. Jika jangkitan berlaku pada awal kehamilan, risiko jangkitan kurang daripada 10 peratus untuk bayi mendapat virus. Jika pada akhir kehamilan, risiko itu meningkat hingga 90 peratus.

Pakar Perunding Hepatologi, Pusat Perubatan Universiti Malaya (UM), Prof Dr Rosmawati Mohamed, berkata hepatitis serius pada bayi hingga boleh mengancam nyawa. Malah, bayi mungkin berisiko alami masalah kesihatan yang lebih serius.

Beliau berkata, tanpa rawatan, bayi baru lahir juga berisiko tinggi untuk menjadi pembawa. Justeru, bayi boleh menyebarkannya kepada orang lain. Apabila mereka membesar, 25 peratus pembawa berisiko untuk meninggal dunia disebabkan barah hati.

"Hepatitis B selalunya tidak mendatangkan masalah ketika kehamilan. Bagaimanapun, virus boleh disebarkan kepada bayi ketika proses kelahiran, sama ada kelahiran itu normal atau pembedahan," katanya.

WANITA hamil perlu mengambil ujian hepatitis B

Bayi baru lahir yang tidak menerima vaksin hepatitis B mula menunjukkan simptom jangkitan yang akut dalam tempoh sebulan atau empat bulan selepas dijangkiti. Bagi kebanyakan kes, mereka mula menunjukkan jangkitan antara empat hingga enam bulan. Tidak seperti orang dewasa, bayi yang diserang hepatitis B selalunya kronik.

"Oleh itu wanita hamil perlu mengambil ujian hepatitis B. Doktor akan memberi bayi vaksin dalam tempoh sehari selepas dilahirkan," katanya.

Secara umum, hepatitis B yang kronik adalah masalah kesihatan global yang serius. Ia berada dalam kedudukan ke 10 penyebab utama kematian. Disebabkan virus hepatitis B (HBV) yang menyerang sel hati, hepatitis B kronik boleh menyebabkan parut pada hati (cirrhosis), barah hati, kegagalan hati dan kematian.

Justeru, ia menjejaskan kesihatan sekitar 350 juta orang dan bertanggungjawab pada 1.2 juta kematian setiap tahun. Antara 15 hingga 25 peratus mereka yang terjejas secara kronik akan mati disebabkan komplikasi jangkitan HBV seperti cirrhosis dan barah hati.

Prof Dr Rosmawati berkata, jika jangkitan berlaku lebih daripada enam bulan, ia dianggap sebagai jangkitan yang kronik dan selalunya akan kekal sepanjang hayat. Ada kalanya pesakit tidak mengalami sebarang simptom tetapi ada yang mengalami jaundis, sakit perut, hilang selera makan, muntah dan sakit sendi.

Dianggarkan hampir 78 peratus kes hepatitis B yang kronik terjadi di Asia dan dianggarkan 360,000 kematian disebabkan hepatitis B terjadi setiap tahun membabitkan populasi Asia Timur saja. Di Malaysia, kelaziman kadar hepatitis B di kalangan populasinya adalah 5.24 peratus iaitu sekitar 1.3 juta penduduk.

"Ramai orang tidak tahu bahawa HBV mudah berjangkit antara 50 hingga 100 kali berbanding HIV. Di kawasan ia menjadi endemik, kebanyakan populasinya dijangkiti sejak bayi atau kanak-kanak," katanya.

Malah, jangkitan atau pindahan HBV paling kerap terjadi antara ibu dan anak ketika proses bersalin. Ini kerana ibu tidak menyedari dia adalah pembawa atau pesakit hepatitis B yang kronik.

Selain itu, HBV juga tersebar melalui pemindahan darah, berkongsi atau menggunakan semula jarum (seperti proses bertatu) atau seks tidak selamat. HBV tidak tersebar melalui minuman atau makanan, berkongsi tandas, menyusukan bayi, berpeluk atau berkucup atau bersin dan batuk.

Beliau berkata, kebanyakan mereka yang dijangkiti HBV tidak menunjukkan sebarang simptom. Malah, mereka mungkin mendapati ujian darah untuk fungsi hati adalah normal. Secara umum, HBV tidak menunjukkan simptom yang spesifik dan pesakit tidak menyedari risiko barah hati sehingga ia menyerang pada tahap sangat serius.

"Barah hati selalunya membawa kematian kerana ketika barah itu masih pada tahap awal, tiada simptom ditunjukkan. Ini menyebabkan diagnosis barah hati selalunya pada tahap yang lewat," katanya.

Berbanding wanita, lelaki lebih kerap diserang barah hati apatah lagi jika memiliki sejarah keluarga yang berhadapan dengan masalah yang sama. Lazimnya, barah hati akan terjadi pada usia antara 35 hingga 65 tahun.

Rawatan

Mendapatkan vaksin adalah langkah terbaik mencegah hepatitis B. Sebanyak 116 negara melaksanakan program imunisasi HBV manakala hanya 10 peratus saja kanak-kanak sihat yang menerima vaksin ini gagal membina antibodi mencegah HBV.

Anda perlu tahu vaksin tidak bermanfaat untuk mereka yang sudah dijangkiti HBV. Di Malaysia, suntikan melindungi daripada HBV sudah dimasukkan dalam program imunisasi kebangsaan sejak 2002. Bagaimanapun, untuk kanak-kanak yang lahir sebelum 2002, mendapatkan vaksin hepatitis B adalah antara agenda yang perlu diberi pertimbangan.

Suntikan ini penting kerana kanak-kanak yang dijangkiti HBV selalunya akan berhadapan dengan jangkitan yang kronik. Malah, tanpa vaksin, sebanyak 90 peratus bayi dijangkiti HBV pada tahun pertama kehidupannya. Sementara antara 30 hingga 50 peratus kanak-kanak yang dijangkiti pada usia antara satu hingga empat tahun juga akan dijangkiti HBV kronik.

Risiko kematian disebabkan barah hati dianggarkan 25 peratus pada mereka yang dijangkiti HBV kronik ketika kanak-kanak.

Ada pelbagai vaksin mencegah jangkitan HBV di pasaran, antara yang terbaru ialah Sebivo yang dibangunkan Novartis.

FAKTA : Bagaimana HBV merebak?

•HBV lebih mudah berjangkit antara 50 hingga 100 kali berbanding HIV
•Virusnya boleh ditemui dalam dalam darah, air liur, air mani dan cecair vagina.
•HBV tidak merebak melalui udara, makanan, air, susu ibu, berpelukan, bercium, batuk, bersin atau berkongsi gelas minuman atau makanan.
•Penyebaran HBV daripada emak kepada anak berlaku ketika bersalin sama ada proses bersalin itu melalui saluran peranakan atau pembedahan.
•Sebanyak 90 peratus bayi yang dijangkiti ketika lahir jika tidak menerima rawatan akan alami HBV lebih kronik.
•Kebanyakan warga Asia dan Afrika dijangkiti HBV ketika kanak-kanak atau ketika dilahirkan.
•Kebanyakan warga Eropah dan Amerika pula dijangkiti HBV ketika remaja menerusi aktiviti seksual dan penggunaan dadah.
•Lebih daripada 2/3 kes HBV tidak menunjukkan sebarang simptom.
•Kadangkala jika simptom muncul, ia selalu disalah tafsir sebagai influenza, demam, letih, sakit sendi, sakit otot, hilang selera makan, pening dan muntah.

Sila Layari Laman Untuk Pendidik :
www.xmpsp.com

Tuesday, March 25, 2008

ROTAVIRUS ANCAM NYAWA BAYI

BERITA HARIAN : Kesihatan Anak
Oleh Dr Zulkifli Ismail, Pakar Perunding Pediatrik Persatuan Pediatrik Malaysia.

ROTAVIRUS menyebabkan kanak-kanak diserang demam.

ANAK anda sering muntah dalam tempoh beberapa jam yang lalu. Episod muntah adalah tindak balas badan kita mengeluarkan toksin daripada perut. Biasanya muntah bukanlah satu keadaan yang serius dan kebanyakan kes berhenti dalam tempoh beberapa jam.

Bagaimanapun, anda perlu berasa bimbang apabila suhu badan anak anda mula meningkat dan kemudian dia mengalami cirit-birit.

Muntah-muntah dan cirit-birit kerap berlaku di kalangan kanak-kanak. Walaupun kebanyakan kes muntah dan cirit-birit disebabkan oleh keracunan makanan, sakit perut atau meningitis, ada juga kes yang sering dialami kanak-kanak dan bayi disebabkan jangkitan virus dikenali sebagai gastroenteritis akut.

Gastroenteritis adalah masalah radang perut dan usus. Walaupun tidak begitu serius kepada kanak-kanak, ia boleh membahayakan dan dalam sesetengah kes boleh mengancam nyawa bayi. Penyebab utama gastroenteritis ialah sejenis virus yang dipanggil rotavirus.

Mengenali rotavirus

Rotavirus adalah sejenis virus yang amat mudah berjangkit dan menyebabkan jangkitan pada usus. Ia sering dikesan dalam najis kanak-kanak yang sudah dijangkiti dan disebarkan melalui sentuhan.

Hal ini sering berlaku apabila kanak-kanak tidak mencuci tangan selepas masuk ke tandas atau sebelum makan. Penyebaran virus boleh berlaku daripada seorang kanak kepada kanak-kanak lain di pusat jagaan anak dan nurseri. Ia juga boleh merebak melalui orang dewasa yang sudah berjangkit atau yang menguruskan bayi yang sudah dijangkiti.

ROTAVIRUS mudah berjangkit.

Rotavirus mampu bertahan selama beberapa jam di tangan manusia serta berhari-hari di permukaan yang keras dan kering. Ini bermaksud ia mudah merebak melalui air atau makanan yang tercemar atau apabila kanak-kanak menyentuh objek atau permukaan yang dijangkiti lalu tangannya dimasukkan dalam mulut.

Risiko terhadap kanak-kanak

Di Malaysia, 38 peratus kanak-kanak yang masuk hospital kerana gastroenteritis akut disebabkan oleh rotavirus. Kebanyakan kanak-kanak akan dijangkiti virus ini sebelum berusia lima tahun.

Jangkitan rotavirus kepada kanak-kanak yang lebih besar (dari segi usia) tidak begitu berbahaya, namun amat berbahaya kepada kanak-kanak yang berusia dua tahun ke bawah. Bagi bayi pula, mereka menghadapi masalah yang paling serius kerana serangan rotavirus boleh menyebabkan dehidrasi (kekurangan cecair dalam tubuh badan) kesan daripada muntah dan cirit-birit yang teruk. Selain berhadapan dengan masalah dehidrasi, terdapat juga risiko mengalami masalah menghadam laktosa yang disebabkan oleh cirit-birit berterusan.

Apa akan terjadi jika kanak-kanak dijangkiti rotavirus?

Pada peringkat awal kanak-kanak yang dijangkiti rotavirus akan mengalami demam dan muntah-muntah, diikuti dengan cirit-birit yang teruk dengan najis berair. Dalam kebanyakan kes, demam dan muntah selama dua hingga tiga hari manakala cirit-birit pula berlarutan hingga seminggu. Gejala lain termasuk kurang selera makan, sakit badan, air kencing yang berkurangan dan tidak bermaya.

Sekiranya anak anda menunjukkan tanda-tanda awal jangkitan rotavirus atau dehidrasi, anda perlu:
• Beri anak anda minum satu hingga 1.5 liter cecair sehari seperti cecair garam rehidrasi atau isotonik. Jika anak anda muntah, pastikan dia kerap mengambil cecair atau susu dalam jumlah yang kecil setiap jam atau setengah jam.
• Bubur juga boleh diberikan dalam jumlah yang kecil bagi memastikan anak anda menerima khasiat yang mencukupi. Elakkan daripada memberi makanan atau minuman dalam jumlah yang banyak jika dia muntah-muntah.
• Beri ubat parasetamol untuk menurunkan suhu badannya.
• Pastikan diri anda, anak anda dan orang lain mencuci tangan selepas menggunakan tandas dan sebelum makan.
• Untuk bayi yang berusia di antara 6 hingga 24 bulan, muntah dan cirit-birit yang serius boleh menyebabkan dehidrasi (kehilangan air) sekali gus menyebabkan kegagalan fungsi buah pinggang atau kerosakan otak. Jika dijangkiti, anak anda perlu mendapatkan rawatan perubatan dengan segera untuk menggantikan air yang hilang melalui cecair intravena. Jika tidak dirawat, dehidrasi akan bertambah teruk dan boleh membawa maut.

Adakah jangkitan rotavirus boleh dielakkan?

Antara langkah pencegahan yang boleh diambil termasuk menyusukan anak anda dengan susu badan serta menggalakkan setiap ahli keluarga mengamalkan kebersihan yang baik di rumah.
• Pastikan semua peralatan makanan bersih dengan mencuci pinggan mangkuk, botol, sudu dan garfu menggunakan air panas.
• Mengambil berat mengenai kebersihan apabila menyediakan makanan untuk keluarga
• Jangan menyimpan makanan yang sudah masak di dalam peti ais lebih daripada dua hari
• Pastikan semua makanan sudah dipanaskan semula dengan baik sebelum dimakan.

Walaupun kesemua langkah pencegahan ini diamalkan manakala rotavirus adalah sejenis virus yang mudah berjangkit, penyusuan ibu serta kebersihan yang sempurna tidak mampu melindungi anak anda sepenuhnya. Satu cara yang berkesan adalah dengan mengambil suntikan vaksin untuk virus ini.

Vaksin rotavirus

Vaksin rotavirus amat berkesan jika diambil pada peringkat awal. Ia boleh diberi secara oral. Matlamat vaksin ini untuk merangsang sistem imun badan daripada usia yang muda supaya apabila anak anda dijangkiti rotavirus untuk kali pertama, dia hanya mengalami jangkitan yang sederhana atau tanpa gejala-gejala yang serius. Jika dia dijangkiti lagi, anak anda akan mendapat perlindungan kecil.

Artikel Positive Parenting ini dihasilkan oleh Malaysian Paediatric Association dengan sumbangan geran pendidikan tanpa syarat dari GlaxoSmithKline.

Sila Layari Laman Untuk Pendidik :
www.xmpsp.com

Saturday, March 22, 2008

VAKSIN BINA SISTEM IMUNITI KANAK-KANAK

BERITA HARIAN : Kesihatan Anak
Oleh Hafizah Iszahanid
hafiza@nstp.com.my


Imuniti penting untuk hasilkan antibodi melawan virus, bakteria bawa penyakit

APAKAH vaksin masih relevan untuk kanak-kanak? Dalam dunia moden dengan seribu satu macam ubat di pasaran, masihkah vaksin perlu dipertimbangkan?

Di Malaysia kes batuk kokol (pertusis) meningkat daripada 27 kes 2003 kepada 42 kes (termasuk empat kematian) pada 2004 manakala 65 kes dicatatkan pada 2005 termasuk satu kematian.

Malah secara umum, pada 2001 Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) merekodkan 2 juta kematian kanak-kanak seluruh dunia disebabkan penyakit yang boleh dicegah melalui vaksin.

Justeru, WHO menyarankan vaksin yang sudah dibangunkan bagi mencegah pelbagai jenis penyakit yang boleh mengancam nyawa diberikan kepada kanak-kanak. Walaupun di satu pihak lain, pemberian vaksin dilihat sebagai kontroversi tetapi bagi WHO ia adalah cara yang terbukti boleh mengawal penyakit.

Pakar Pediatrik dan Neonatal, Hospital Pakar Damansara, Dr Musa Mohd Nordin, berkata vaksin penting untuk kanak-kanak kerana mereka tidak memiliki imuniti yang diperlukan dan antibodi menentang penyakit.

“Kanak-kanak yang mendapat imunisasi membantu melindungi kesihatan komunitinya terutama mereka yang tidak mendapat imuniti. Selain itu, imunisasi juga boleh memperlahankan atau menghentikan wabak penyakit,” katanya.

Sebagai contoh, polio misalnya satu ketika dulu penyakit paling ditakuti di Amerika menyebabkan kematian dan lumpuh. Mangsa polio terkenal tentu saja Presiden Amerika, Franklin Roossevelt.

Selepas polio diperkenalkan pada 1955, polio bukan lagi masalah kesihatan yang mengancam nyawa. Di Malaysia, kes terakhir polio dicatatkan pada pertengahan 1980an. Kemudian, negara bebas polio melalui pemberian imunisasi yang diwajibkan menerusi jadual pemberian vaksin kebangsaan. Hanya pada awal 1990an, tiga kes polio dicatatkan di Malaysia. Bagaimanapun semua kes itu membabitkan warga asing.

Dr Musa berkata, di sesetengah negara apabila sesuatu penyakit itu tidak lagi menjadi kebiasaan masyarakat mula mempersoalkan kewajaran pemberian vaksin itu. Antaranya pertikaian dan desakan antara orang awam di United Kingdom (UK) dengan kementerian kesihatannya mengenai pemberian vaksin batuk kokol pada 1970an.

Berikutan desakan awam, UK menghentikan pemberian vaksin pencegah batuk kokol. Hanya dalam tempoh beberapa tahun, epidemik batuk kokol muncul semula dengan membabitkan 100,000 kes termasuk 36 kematian.

Mengapa vaksin untuk kanak-kanak sangat penting?

a) Bayi yang baru lahir imun terhadap banyak jenis penyakit kerana antibodi yang diperoleh daripada ibu mereka. Bagaimanapun, durasi imuniti ini hanya bertahan antara sebulan hingga setahun. Apatah lagi kanak-kanak tidak memiliki imuniti ‘maternal’ melawan sesetengah penyakit yang boleh dicegah melalui vaksin seperti batuk kokol.

b) Jika kanak-kanak tidak menerima imunisasi dan terdedah kepada bakteria membawa penyakit, tubuhnya mungkin tidak cukup kuat untuk melawan penyakit. Sebelum adanya vaksin, kebanyakan kanak-kanak meninggal dunia disebabkan penyakit seperti batuk kokol, campak dan polio. Walaupun penyakit itu masih wujud hingga kini, ia sudah boleh ditangani dengan vaksin.

Bagaimana vaksin melindungi kanak-kanak dari penyakit?

Setiap kanak-kanak lahir dengan sistem imun yang terdiri daripada sel, kelenjar, organ dan cecair yang terletak di seluruh tubuhnya dan berupaya melawan bakteria dan virus.

Sistem imun yang sihat dan normal memiliki keupayaan menghasilkan berjuta-juta antibodi untuk menentang serangan bakteria setiap hari. Banyak antibodi akan ‘hilang’ selepas ia memusnahkan sel asing tetapi sel yang terbabit dalam penghasilan antibodi (disebut memori sel) akan kekal.

Sel ini akan mengingati antigen (sebatian luar yang merangsang penghasilan antibodi) asal dan akan mempertahankan sistem tubuh jika ia cuba menyerang lagi. Perlindungan itu dinamakan imuniti.

Vaksin memiliki antigen yang sama atau sebahagian antigen yang menyebabkan penyakit tetapi antigen dalam vaksin adalah sama ada yang sudah dilemahkan atau sudah dimatikan. Apabila ia disuntik dalam tisu lemak atau otot, antigen vaksin tidak cukup kuat untuk menghasilkan simptom dan tanda penyakit tetapi cukup kuat untuk sistem imun menghasilkan antibodi menentangnya.

Memori sel yang ada mencegah jangkitan sekali lagi jika ia berlaku pada masa depan. Justeru melalui vaksinasi, kanak-kanak membina imuniti tanpa menderita penyakit sebenar.

Contoh paling mudah yang diberikan Dr Musa adalah demam pelentung. Ali mengambil vaksin manakala Ah Chong menderita demam pelentung. Ali tidak diserang pelentung begitu juga Ah Chong tetapi imuniti yang dibina Ah Chong perlu dibayar dengan harga kesakitan dan kesengsaraan manakala harga vaksin Ali mungkin kurang daripada RM100 saja.

Sila Layari Laman Untuk Pendidik :
www.xmpsp.com

PnD PEMBUNUH KANAK-KANAK

BERITA HARIAN : Kesihatan Anak
Oleh Hafizah Iszahanid
hafiza@nstp.com.my
MENINGITIS, radang paru-paru dan jangkitan telinga tengah mempunyai satu persamaan. Semuanya dikategorikan sebagai penyakit pneumokokal (PnD) yang disebabkan bakteria ‘streptococcus pneumoniae’.

Ada lebih 90 jenis bakteria PnD dan ia adalah satu daripada penyakit pembawa maut yang paling mudah berjangkit. Setiap tahun antara 700,000 dan 1 juta kanak-kanak berusia lima tahun ke bawah mati akibat PnD.

Untuk setiap jam, antara 80 hingga 112 kanak-kanak mati akibat penyakit maut ini atau secara kasarnya antara 1,900 hingga 2,700 kanak-kanak mati setiap hari di seluruh dunia manakala di negara membangun, PnD dianggap sebagai punca utama kematian kanak-kanak.

Pengerusi Perikatan Strategik Asia Demi Mencegah Penyakit Pneumokokal (ASAP) yang juga Ketua Jabatan Penyakit Berjangkit Pediatrik di Kolej Perubatan Universiti Filipina, Dr Lulu Bravo, berkata perjuangan untuk mencegah lebih ramai kanak-kanak daripada meninggal dunia akibat PnD di Asia Pasifik harus ditingkatkan kerana angka kematian semakin meningkat.

“Sebagai doktor dan ibu bapa, saya tahu betapa hancurnya hati ibu bapa yang kematian anak. Namun, anda mungkin tidak dapat memahami derita dan kehilangan itu sehingga ia berlaku kepada anak anda. Saya ingin menjelaskan keadaan ini boleh dielakkan,” katanya.

Dr Lulu berkata, antara penyakit yang dirujuk sebagai PnD termasuk meningitis, pneumonia, bakteremia dan otitis media akut. Ia dianggarkan mengakibatkan sehingga sejuta kematian di kalangan kanak-kanak yang kebanyakannya tinggal di negara sedang membangun.

Simptom

Simptom PnD berbeza mengikut usia kanak-kanak dan bergantung kepada masalah yang dihadapinya, sama ada meningitis, radang paru-paru atau jangkitan telinga tengah. Bagaimanapun, jika anda merasakan anak anda mengalami jangkitan serius, bawa mereka berjumpa doktor dengan segera.

Penyakit pneumokokal sebenarnya boleh dicegah melalui vaksin. Buat masa ini, vaksin yang dikenali sebagai ‘vaksin berkonjugat pneumokokal sakarida’ atau ringkasnya PCV-7adalah vaksin yang pertama dan satu-satunya vaksin untuk mencegah penyakit pneumokokal invasif di kalangan bayi dan anak kecil yang berusia di bawah 24 bulan. Vaksin ini juga membantu melindungi kanak-kanak yang sudah mencecah usia sembilan tahun.

PCV-7 digunakan untuk imunisasi yang aktif dan membantu melindungi daripada penyakit yang disebabkan oleh tujuh serotip (jenis) bakteria streptococcus pneumoniae, yang juga dikenali sebagai pneumokokus.

Sebelum ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyarankan kemasukan PCV-7 dalam program imunisasi kebangsaan terutama di negara yang mencatatkan kadar kematian kanak-kanak di bawah usia lima tahun mencatat hingga 50,000 setahun.

Sila Layari Laman Untuk Pendidik :
www.xmpsp.com

G6PD PENYAKIT KURANG ENZIM

BERITA HARIAN : Kesihatan Anak
Bersama Dr Azam Mohd Nor
tanyadoktor@bharian.com.my


'GLUCOSE 6 Phosphate Dehydrogenase deficiency' atau lebih dikenali sebagai G6PD adalah sejenis penyakit yang kerap berlaku. Dianggarkan 400 juta penduduk dunia mengalami masalah itu. G6PD sejenis penyakit yang dikaitkan dengan kromosom X, justeru masalah ini lazimnya berlaku kepada lelaki.

Dalam kes G6PD, enzim penting untuk melindungi sel darah merah pecah disebabkan proses oksidasi (proses menghasilkan oksigen dengan menggabungkan oksigen atau menyingkirkan hidrogen).

Justeru, kekurangan enzim berkenaan menyebabkan sel darah merah mudah pecah. Tahap keseriusan penyakit G6PD ini bergantung kepada tahap kekurangan enzim itu.

Bagaimana masalah ini dikesan?

Penyakit ini dapat dikesan melalui ujian darah sebaik saja seorang bayi itu dilahirkan. Ujian darah itu akan mengesan keberkesanan enzim berkenaan. Melakukan ujian darah sebaik saja dilahirkan sudah diamalkan di Malaysia sejak sekian lama. Ini kerana masalah G6PD kerap berlaku di Malaysia dan boleh menyebabkan masalah di kalangan bayi baru lahir.

Antara masalah yang mungkin timbul di kalangan bayi baru lahir adalah jaundis. Disebabkan kekurangan enzim itu, sel darah merah bayi mudah pecah. Ini menghasilkan kandungan bilirubin yang tinggi.
Kandungan bilirubin yang terlalu tinggi boleh menyebabkan keadaan toksik kepada otak. Jika tidak diubati boleh menyebabkan kecacatan kepada bayi.

Oleh kerana kemungkinan masalah besar yang mungkin timbul kepada bayi yang mengalami G6PD, kebanyakan institusi perubatan akan menahan bayi berkenaan di wad sekurang-kurangnya lima hari sebelum dibenarkan pulang.

Selain itu, bayi G6PD ini juga boleh berhadapan keadaan dinamakan “acute hemolysis”, iaitu keadaan wujudnya sel darah merah pecah pada kuantiti terlalu banyak. Ini menyebabkan bayi itu berasa penat dan kelihatan pucat dengan tiba tiba. Simptom lain yang mungkin dialami adalah sakit perut, jaundis, kencing bertukar berwarna gelap dan sakit pinggang.

Keadaan ini berlaku disebabkan jangkitan, memakan kacang parang jenis “fava beans” ataupun memakan ubatan yang boleh meninggikan proses oksidasi. Bukan semua jenis jangkitan akan menyebabkan masalah itu. Sebaliknya jangkitan yang selalu dikaitkan dengan acute hemolysis adalah jangkitan oleh bakteria.
Banyak ubat-ubatan yang tidak dapat diambil oleh mereka yang mengalami masalah G6PD. Senarai ubatan ini panjang dan apa yang perlu dilakukan adalah selalu memberitahu doktor yang merawat anak mengenai masalah anak anda yang mengalami G6PD. Ini dapat mengelakkan mereka menggunakan ubat-ubatan yang boleh menyebabkan komplikasi.

Di antara ubat-ubatan yang boleh membawa komplikasi

Ubat-ubatan penyakit malaria dan antibiotik yang mengandungi kandungan sulfur. Selain daripada ubat, kacang parang jenis “fava beans “ juga boleh menyebabkan oksidasi sel darah merah. Selain itu juga komplikasi G6PD juga dikaitkan dengan penggunaan ubat serangga.

Rawatan

Cara rawatan yang utama adalah mengelakkan daripada perkara yang boleh menyebabkan acute hemolysis seperti yang dinyatakan di atas. Kadangkala sel darah merah yang pecah secara keterlaluan menyebabkan bayi itu pucat. Ini mungkin memerlukan pemindahan darah. Perlu diingatkan juga, masalah G6PD ini disebabkan kekurangan penghasilan enzim dan ini adalah masalah yang akan kekal buat selamanya.

Sila Layari Laman Untuk Pendidik :
www.xmpsp.com

Thursday, March 20, 2008

KESIHATAN IBU ANAK PERLU DIBERI TUMPUAN

BERITA HARIANCitra
Isnin (17/03/2008)

Oleh Rosliwaty Ramly

Laporan Unicef saran utamakan kelangsungan generasi muda demi masa depan lebih baik LAPORAN Perdana Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Unicef) - Kedudukan Kanak-kanak di Dunia yang dikeluarkan baru-baru ini menilai situasi kelangsungan kanak-kanak dan penjagaan kesihatan asas bagi ibu, bayi baru lahir dan kanak-kanak, menunjukkan kedudukan isu semasa mengecapi kemajuan memerlukan lebih banyak tumpuan.

Laporan global itu akan disiarkan di Malaysia sempena Hari Kesihatan Sedunia 2008, yang akan disambut dengan rasminya pada 7 April depan. Dengan lebih kurang 26,000 kanak-kanak di bawah umur lima tahun meninggal dunia setiap hari, dan tempoh tamat bagi Matlamat Pembangunan Milenium (MDG) 4 - yang bertujuan mengurangkan mortaliti kanak-kanak sebanyak dua pertiga antara 1990 dan 2015 semakin dekat, timbul soalan kritikal, khasnya bagaimana momentum terhadap kelangsungan maternal, bayi baru lahir dan kanak-kanak dapat dikekalkan serta kemajuan dipercepatkan dalam baki tempoh lapan tahun ini.

Wakil Unicef Malaysia, Youssouf Oomar, berkata kadar mortaliti kanak-kanak pada amnya diiktiraf sebagai petunjuk terbaik kesejahteraan penduduk kanak-kanak dan juga satu penilaian pembangunan keseluruhan sesebuah negara.

“Isu ini adalah kayu ukur sensitif pembangunan serta kesejahteraan sesebuah negara dan juga sebagai bukti keutamaan dan nilainya. Melabur dalam kesihatan kanak-kanak dan ibu adalah elemen penting dalam hak asasi dan satu-satunya cara pasti bagi sesebuah negara untuk menetapkan haluan menuju masa depan yang lebih baik,” katanya.

Di Malaysia, kesihatan ibu dan bayi menyaksikan penambahbaikan dramatik sepanjang era pasca kemerdekaan, dengan paras hari ini hampir sama dengan negara maju (sila lihat fakta). Menjelang 1990-an, nisbah mortaliti maternal (MMR) menyusut lagi dan kini berada di paras lebih kurang 33 bagi setiap 100,000 kelahiran hidup (lebih kurang 160 kematian maternal yang dilaporkan setiap tahun).

Pengalaman Malaysia yang disifatkan menakjubkan ialah dalam usaha mengurangkan mortaliti kanak-kanak dan maternal yang juga adalah hasil sinergi barisan luas dasar, strategi dan program yang sudah menangani capaian kepada khidmat penjagaan kesihatan menerusi dimensi sosioekonomi, budaya, pendidikan, gender dan kemiskinan.

Bagaimanapun, selepas mencapai paras yang rendah, aliran kebelakangan ini menunjukkan paras itu semakin mantap, sementara jurang bandar dengan luar bandar semakin ketara.

Punca utama kematian di Malaysia bagi kanak-kanak di bawah usia satu tahun adalah keadaan perinatal (tempoh masa antara tiga bulan sebelum kelahiran sehingga sebulan selepas kelahiran), sementara septisemia (pemusnahan tisu secara meluas akibat penyerapan bakteria penyebab penyakit atau toksin daripada edaran darah) dan pneumonia (radang paru-paru) adalah punca utama kematian kanak-kanak dalam kategori umur satu hingga lima tahun.

Dari segi mortaliti maternal atau keibuan, petunjuk proksi menunjukkan kadar lebih tinggi adalah di Sabah dan juga di kalangan penduduk Orang Asli di Semenanjung.

Pada masa sama, negara kini pada peringkat peralihan epidemiologi yang mana penyakit tidak berjangkit dan penyakit kelamin seperti HIV semakin meningkat, khasnya di kalangan wanita.

Berdasarkan kepada pengalaman lalu, laporan Unicef menunjukkan bagaimana pakar kesihatan maternal, bayi dan kanak-kanak semakin menumpukan pada satu set prinsip strategik bagi kesihatan dan kelangsungan kanak-kanak. Prinsip itu dikatakan boleh memberikan dorongan perlu untuk mencapai MDG berkaitan kesihatan.

Oomar berkata, peruntukan penjagaan kesihatan mestilah sesuai dengan had sumber manusia dan kewangan, konteks sosioekonomi, kapasiti sedia ada pada sistem kesihatan negara dan juga tindakan segera untuk mencapai keputusan.

“Satu kajian terhadap strategi ini menawarkan perspektif penting terhadap situasi semasa dan membantu dalam melangkah ke depan dalam usaha menentukan kelangsungan kanak-kanak.

“Cabarannya ialah untuk memastikan kanak-kanak dapat mencapai penjagaan kesihatan berterusan, bersama sokongan sistem kesihatan kebangsaan yang utuh serta pembabitan masyarakat tempatan,” katanya.- Bernama

FAKTA: Kesihatan ibu dan bayi di Malaysia

· Kadar mortaliti bawah lima tahun (U5MR) sudah menurun daripada 57 peratus bagi setiap 1,000 kelahiran hidup pada 1970, kepada 22 pada 1990 dan seterusnya 12 pada 2006.
· Kadar mortaliti bayi (IMR) menyusut daripada 41 bagi setiap 1,000 kelahiran hidup pada 1970, kepada 16 pada 1990 dan seterusnya 10 pada 2006.
· Nisbah mortaliti maternal (MMR) menurun ke separuh antara 1957 dan 1970 apabila ia menyusut daripada sekitar 280 kepada 141 bagi setiap 100,000 kelahiran hidup.

Prinsip strategik bagi kesihatan dan kelangsungan kanak-kanak:

· Mengiktiraf keperluan bagi perkongsian masyarakat untuk membantu keluarga dalam menambah baik amalan penjagaan kesihatan bagi kanak-kanak, khasnya di negara dengan sistem penjagaan kesihatan yang lemah.
· Menyediakan penjagaan berterusan bagi ibu, bayi baru lahir dan kanak-kanak dengan menyusun sistem penyampaian pada titik penting kitaran hayat.
· Memperkukuhkan sistem penjagaan kesihatan dengan menawarkan sokongan lebih utuh bagi negara membangun dalam perancangan negara, dasar dan rangka kerja belanjawan bagi MDG berkaitan dengan kesihatan.
· Meningkatkan usaha pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa dengan tumpuan utuh terhadap penyelarasan, pengharmonian dan keputusan.

Sila Layari :
http://www.xmpsp.com/

MAKANAN PELENGKAP BAYI SELEPAS 6 BULAN

MEMBERI bayi pelbagai jenis makanan secara tidak langsung mengajarnya kepelbagaian rasa dan warna.

"SAYA selalu didesak keluarga memberi makanan pelengkap kepada anak saya yang baru berusia tiga bulan. Setahu saya, bayi hanya boleh diberi makanan kecuali susu selepas berusia enam bulan. Oleh kerana ada ahli keluarga lain yang mempunyai anak sebaya dengan anak saya berbuat demikin, saya dianggap tidak kasihankan anak. Malah, ada ahli keluarga yang memberi anak mereka makanan sejak dalam pantang. Siapa yang betul? Saya atau mereka?" Anda biasa berhadapan dengan dilema ini? Tentu lebih merimaskan jika keluarga yang mendesak itu adalah keluarga sebelah suami. Apapun alasan yang mereka beri, anda perlu tahu makanan pelengkap jangan diberi terlalu awal (kurang daripada enam bulan) dan jangan pula terlalu lewat daripada itu.

Mengapa tidak digalakkan memberi makanan pelengkap sebelum usia anak enam bulan?

1. Sistem pencernaan dan penyerapan bayi yang berusia kurang enam bulan belum matang.
2. Susu ibu adalah makanan utama untuk bayi. Pemberian makanan pepejal terlalu awal boleh mengurangkan pengambilan susu oleh bayi kerana mereka mudah kenyang dengan makanan pejal.
3. Makanan yang diberikan sebagai gantian susu ibu selalunya bubur yang cair dan sup.
4. Makanan ini mengenyangkan tetapi kurang nutrisi berbanding susu ibu. Justeru, keperluan bayi itu tidak dipenuhi.
5. Bahan makanan lain mengurangkan penyerapan nutrisi dalam susu ibu seperti zat besi. Bayi mudah mendapat alahan.

Mengapa ia perlu diberi ketika usia enam bulan ke atas?

1. Menambah bekalan tenaga anak
2. Membekalkannya dengan zat makanan
3. Memperkenalkan anak dengan pelbagai jenis makanan dan rasanya
4. Memenuhi keperluan proses perkembangan dan kematangannya

Bagaimana memberi makanan pelengkap kepada anak?

1. Berikan susu terlebih dahulu sebelum memberi bayi makanan pelengkap. Ini akan membolehkan ibu menghasilkan cukup susu bagi jangka masa yang lebih lama.
2. Sediakan hidangan yang seimbang. Hidangan seimbang perlu mengandungi makanan daripada lima kumpulan makanan iaitu bijirin dan ubi, daging dan telur, sayur dan buah, minyak dan lemak selain ikan.
3. Pelbagaikan makanan bayi. Berikan pelbagai jenis makanan dengan pelbagai jenis zat. Ia juga secara tidak langsung mengajar bayi kepelbagaian rasa dan warna.
4. Tambahkan minyak dan lemak dalam makanannya. Bayi perlukan tenaga untuk tumbesaran. Minyak atau lemak seperti mentega dapat menambah kandungan tenaga dalam hidangan.
5. Tidak perlu tambah garam, gula dan bahan perasa dalam makanannya. Beri dia peluang menikmati rasa semula jadi makanan.
6. Sediakan makanan mengikut tekstur yang sesuai usianya. Ia juga perlu mengikut kebolehan bayi. Misalnya bagi bayi berusia enam bulan makanan perlu dikisar halus manakala bayi tujuh hingga sembilan bulan, makanan mungkin hanya perlu dilenyek manakala bayi berusia 10 hingga 12 bulan, makanan hanya perlu dicincang.
7. Mulakan dengan sedikit dan tambah kuantitinya secara beransur-ansur mengikut usia.
8. Jadikan masa makanan sebagai masa yang menyeronokkan. Jangan paksa bayi makan jika belum bersedia atau tidak mahu makan.

Bagaimana mengetahui pengambilan makanan itu mencukupi?

Pastikan berat anak ditimbang selalu mengikut jadual temu janji dengan pakar pediatrik. Catatkan jumlah berat anak pada carta tumbesarannya.

Dengan makanan yang cukup dan bermutu, hala tumbesaran anak akan naik selaras dengan garis rujukan pada kad tumbesaran. Carta ini adalah satu cara mengajar ibu mengetahui keberkesanan makanan yang diberikan pada anak.

Sumber: Bahagian Kesihatan Awam, Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan.

Sila Layari :www.xmpsp.com

DARAH TALI PUSAT PENAWAR AJAIB

Oleh: HAFIZAH ISZAHANID

Berpotensi merawat lebih 70 jenis penyakit termasuk barah darah, penyakit jantung, kecederaan saraf tunjang dan parkinson.

SECARA tradisi, tali pusat bayi yang baru dilahirkan akan diserahkan kepada bapa untuk dibasuh sebelum ditanam. Berdekad lamanya, tiada siapa mengetahui keistimewaan darah dari tali pusat dan keupayaannya sebagai penawar ajaib untuk lebih 70 jenis penyakit.

Hanya kira-kira 20 tahun lalu, saintis dan penyelidik mendapati, darah tali pusat mengandungi banyak sel dan satu daripadanya sel stem. Pada 1988, sekumpulan ahli perubatan Perancis berjaya melakukan pemindahan sel stem bagi pesakit Fanconi Anemia.

Di Malaysia, sejarah tercatat sekitar 1997 apabila Hospital Universiti (ketika itu) melakukan pemindahan sel stem darah tali pusat kepada seorang kanak-kanak pesakit talasemia major. Sel stem berkenaan didermakan adiknya yang baru dilahirkan.

Bagaimanapun sejarah itu tidak banyak kesannya kepada penduduk Malaysia secara keseluruhan. Dalam satu kajian rambang di kalangan penduduk Lembah Klang baru-baru ini, hanya 42 peratus responden tahu mengenai darah tali pusat. Jika dibandingkan dengan negara luar, Malaysia sebenarnya agak ketinggalan dari segi kesedaran dan kemudahan penyimpanan darah tali pusat.

Selain Pusat Darah Negara yang menubuhkan Bank Darah Tali Pusat pada 2002, yang menyimpan darah tali pusat untuk kegunaan awam; hanya ada dua bank darah swasta menawarkan perkhidmatan ini. Satu daripadanya StemLife Bhd yang sudah beroperasi sejak empat tahun lalu.

Pengarah Operasi StemLife Bhd, Zahrein Redza, berkata sehingga ini walaupun mereka memiliki 6,000 pelanggan, kebanyakan mereka bukan Bumiputera.“Kesedaran Bumiputera untuk menyimpan darah tali pusat bayi masih rendah. Mungkin maklumat tidak sampai atau mereka tidak tahu ‘keajaiban’ darah tali pusat kerana jika diambil kira dari segi kos, menyimpan darah tali pusat hanya berharga RM250 setahun,” katanya.

Dari segi perubatan, tubuh manusia memiliki 200 jenis sel seperti sel hati, sel lemak, sel saraf dan sel kulit, tetapi setiap sel ini bersifat tersendiri. Sel kulit tidak boleh menjadi sel hati begitu juga sebaliknya.

Sel stem adalah sel ‘kosong’. Ia memiliki keupayaan untuk terbahagi dan menghasilkan lebih banyak sel ‘kosong’ dan merangsang pembentukan sel-sel lain seperti sel darah merah dan sel darah putih. Keupayaan itu menjadikannya sangat istimewa.

Sel stem dewasa berbeza dengan sel stem bayi. Sel stem matang bersama usia justeru menyimpannya dengan teknik yang betul, mampu mengelakkannya ‘matang’ dan berupaya menyelamatkan bayi atau ahli keluarganya di masa hadapan.

Dari mana datangnya sel stem embrio? Manusia memulakan kehidupan sebagai sel tunggal yang dikenali sebagai zigot. Sel ini boleh terbahagi dan membentuk dua sel. Dalam tempoh lima hari, pembentukan ‘blastocyst’ terjadi. ‘Blastocyst’ lebih kecil daripada pasir dan mengandungi dua sel, ‘trophoblast’ dan ‘inner cell mass’. Sel stem embrio adalah sel yang membentuk ‘inner cell mass’.

Apa perlunya menyimpan darah tali pusat? Lebih 70 jenis penyakit berpotensi dirawat menggunakan darah tali pusat. Antaranya barah darah, penyakit jantung, kecederaan saraf tunjang, parkinson dan jumlah itu bertambah dari saban tahun.

Zahrein berkata, di Malaysia penyakit talasemia major semakin meningkat. Malah dianggarkan 4.5 peratus penduduk Malaysia adalah pembawa.

“Keperluan pemindahan darah sangat mendesak untuk pesakit talasemia major. Tetapi mungkin mereka akan bertemu penawar yang mujarab jika pesakit atau ahli keluarga terdekatnya ada menyimpan darah tali pusat,” katanya.

Darah tali pusat yang disimpan tiada tarikh luput. Selagi teknik penyelenggaraannya betul (disimpan dalam nitrogen cair dengan suhu beku - 196 darjah selsius) ia sentiasa berupaya menjadi penawar kepada bayi. Jika mungkin bukan bayi itu yang memerlukannya, ayah, ibu atau adik beradik kandungnya yang berhadapan dengan penyakit kritikal masih boleh mengambil manfaat.

Begitupun, keberkesanan darah tali pusat terhadap saudara jauh atau individu di luar keluarga berkenaan bergantung kepada keadaan penyakit yang dihidapinya. Darah tali pusat yang datang dari bayi yang berhadapan dengan penyakit tertentu seperti sindrom down hanya boleh digunakan terhadapnya saja.

Keberkesanan pemindahan darah tali pusat juga bergantung pada ‘keserasian’ penderma-penerima, jumlah sel stem yang ada dalam darah tali pusat dan tahap penyakit yang dihidapi seseorang.

Zahrein berkata, di StemLife kos penyimpanan darah tali pusat pada kadar RM2,500 untuk proses pendaftaran, ujian, pemprosesan dan penyelenggaraan manakala RM250 untuk tahun kedua dan seterusnya. Jumlah itu katanya, lebih murah jika dihitung dengan harga segelas teh tarik yang dinikmati rakyat Malaysia saban pagi.

Jenis Sel Stem

a) Sel stem totipotent boleh menjadi apa saja jenis sel dalam tubuh termasuk placenta.

b) Sel stem pluripotent - terhasil dalam tempoh empat hari selepas proses penyuburan boleh menjadi apa saja jenis sel termasuk sel stem totipotent dan sel placenta.

c) Sel stem multipotent warisan daripada sel setm pluripotent dan sel lain dalam tisu.

d) Sel progenitor boleh menghasilkan satu jenis sel.

Penyakit yang boleh dirawat menggunakan sel stem

* Barah darah
* Penyakit darah (talasemia)
* Penyakit metabolik
* Keimunan
* Jantung
* Diabetes
* Parkinson

Mengapa perlu menyimpan sel darah tali pusat anak anda?

* Ia adalah aset biologi yang berpotensi menyelamatkan nyawa bayi atau ahli keluarga.
* Proses pengumpulan darah tali pusat tidak invasif, tidak menyakitkan dan tiada risiko pada ibu dan bayi
* Berbanding sel stem daripada sum-sum tulang dewasa, sel stem darah tali pusat lebih mudah diterima badan dan mempunyai risiko penolakan yang rendah

INFO:

Jika dibandingkan dengan pengambilan sel stem tulang sum-sum, proses pengambilan darah tali pusat tidak menyakitkan dan tiada risiko untuk bayi dan ibu. Ia hanya memakan masa lima minit selepas bayi dilahirkan.

Sel stem darah tali pusat tidak memiliki tarikh luput, boleh diwarisi asalkan disimpan dengan teknik yang betul. Ia lebih bagus daripada sel stem tulang sum-sum kerana tidak terdedah pada kuman (kerana diambil sebaik saja bayi dilahirkan) berbanding sel stem tulang sum-sum.

Jika anda ingin menderma sel stem darah tali pusat bayi anda, sila berhubung dengan Pusat Darah Negara. Sekiranya ingin menyimpannya untuk kegunaan peribadi ada dua bank swasta yang boleh anda hubungi.


Sila layari :
www.xmpsp.com

Wednesday, March 19, 2008

IBU BAPA PUNCA ANAK KURANG SELERA MAKAN

Oleh Siti Norhabibi Hassan

Kanak-kanak mesti dilatih lebih awal supaya mereka biasa dengan pelbagai sayur, buah-buahan

KITA sering mendengar keluhan daripada ibu bapa yang mengatakan anak mereka kurang selera makan. Kebimbangan mereka memuncak apabila mendapati berat anak mereka terus menurun.

Sebagai ibu bapa kita perlu faham bahawa terdapat pelbagai faktor menyebabkan selera makan kanak-kanak berkurangan. Antaranya faktor makanan itu sendiri, rasanya, penyajian kurang baik, menu makanan tidak menarik dan tidak bervariasi.

Selain itu, masalah anak tidak mahu makan terutama pada usia antara 1 hingga 3 tahun juga dipengaruhi sikap ibu bapa yang memaksa anak mereka makan dalam jumlah tertentu.

Perlu disedari, paksaan boleh menyebabkan anak marah dan memberontak ketika diberi makan. Dalam menghadapi keadaan begini, kesabaran amat diperlukan dan ibu bapa wajar memberi kasih sayang seperti memujuk dengan lemah lembut.

Kurang selera makan dalam jangka masa yang lama pada kanak-kanak boleh membahayakan kesihatannya seperti kekurangan gizi (zat) dan melambatkan pertumbuhan serta perkembangan minda mereka.

Memilih makanan yang sihat dan mengurangkan risiko kepada kesihatan kanak-kanak, bukanlah perkara yang mudah, lebih-lebih lagi terdapat pelbagai makanan ringan atau makanan segera di luar. Sebagai ibu bapa, menjadi tanggungjawab untuk mengawal pola makanan dan jenis makanan anak mereka.

Mengikut kajian, pola pemakanan dan jenis makanan yang dimakan oleh kanak-kanak sekarang lebih banyak memberi kesan buruk kepada pertumbuhan mereka. Ibu bapa perlu memilih makanan yang benar-benar diperlukan bagi perkembangan kesihatan anak mereka.

Pakar Pemakanan di Fakulti Sains dan Teknologi Makanan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Suhaila Mohamed, berkata kanak-kanak membesar dengan cepat tetapi saiz perut mereka tetap kecil iaitu sebesar genggaman tangan.

“Mereka memerlukan makanan yang sedikit tetapi berkhasiat dan mengandungi pelbagai vitamin serta zat galian,” katanya.

Beliau berkata, kanak-kanak pada usia antara 1 hingga 3 tahun perlu diberikan makanan keluarga sesuai dengan pertumbuhan mereka.

“Bayi berumur antara 6 hingga 12 bulan pula boleh diberi daging, nasi dan sayuran yang dikisar dan dihancurkan. Bagi yang berumur satu tahun ke atas, mereka mempunyai daya fizikal untuk memakan makanan yang bertekstur seperti makanan seisi keluarga.

“Biasakan kanak-kanak pada usia ini boleh diberi jus buah-buahan dan sayuran yang berkhasiat bagi menggantikan nutrien yang kurang dalam badan mereka. Semua jenis buah-buahan dan sayuran baik untuk mereka,” katanya.

Katanya, sediakan sayur dan buah-buahan setiap kali waktu makan dengan memulakan sedikit demi sedikit supaya minat mereka timbul.

Dr Suhaila berkata, kanak-kanak harus dilatih dari awal supaya mereka biasa dengan pelbagai sayuran dan buah-buahan.

“Buah-buahan boleh diberi dalam bentuk jus atau dipotong kecil supaya mudah hadam. Tekstur makanan yang diberikan perlulah sentiasa diawasi bagi mengelakkan kanak-kanak dari tercekik.

“Cara mereka disuap dan kadar makanan yang diberikan perlu sesuai mengikut pertumbuhan mereka,” katanya.

Katanya, pelbagaikan cara penyediaan makanan dan memujuk dengan lembut adalah amalan yang paling baik.

“Beri galakan supaya mereka makan tetapi bukan memaksa. Beri makanan perlahan-lahan dengan penuh kesabaran. Ibu bapa perlu mempelbagaikan jenis makanan dan mengurangkan gangguan supaya waktu makan menjadi kesempatan untuk mereka belajar,” katanya.

Beliau berkata, perlu diingatkan pergantungan kepada susu ibu atau susu tin tidak memadai untuk menampung pertumbuhan kanak-kanak.

“Sayur dan buah-buahan perlu diberi agar khasiat penting yang tiada dalam susu dapat disalurkan.

“Soya adalah antara minuman yang berkhasiat dan penting untuk kanak-kanak pada usia antara 1 hingga 3 tahun,” katanya.

Katanya, makanan harian perlu lengkap dengan kandungan protein dan zat besi seperti ayam, daging lembu dan ikan kaya manakala sayuran yang kaya dengan vitamin A dan C termasuk labu kuning, lobak merah, ubi kuning, brokoli, tomato serta mangga.

“Pengambilan makanan tambahan seperti multi-vitamin mesti tinggi dengan kandungan tenaga, protein, zat galian, zat besi, zink, kalsium, vitamin A, vitamin C dan asid folik yang sesuai untuk pertumbuhan mereka.

“Pengambilan makanan tambahan ini sebaik-baiknya dimulakan dari peringkat awal. Selain dapat memberikan nutrien lengkap ia juga membantu menambah selera makan,” kata Dr Suhaila.

Beliau berkata, sayuran kaya dengan zat antioksidan seperti vitamin A, C dan E dapat mengurangkan risiko kanser.

“Fiber yang tidak larut dalam air terdapat dalam sayur yang tidak hadam dapat mencegah sembelit dan kanser,” katanya.

Jumlah makanan tambahan perlu diberi dalam sehari

· Mulakan dengan 2 dan 3 sudu teh.

· Berikan makanan tambahan tiga kali sehari bagi anak berumur 6 dan 7 bulan.

· Tambahkan lima kali sehari apabila berumur 12 bulan.

· Tambahkan snek apabila berumur 12 dan 24 bulan.

· Tambahkan kadar dan pelbagaikan jenis makanan.

· Gunakan sudu dan cawan - elakkan botol susu.

Tips untuk menggalakkan kanak-kanak makan sayur dan buah-buahan

· Sediakan hidangan yang menarik dan pelbagai warna.

· Bijirin sarapan bersama buah-buahan.

· “Milk shake” buah-buahan.

· Bekalkan buah-buahan ke sekolah.

· Babitkan anak ketika membeli sayur dan buah-buahan.

· Beri peluang si kecil memilih sayur dan buah-buahan yang disukai.