Thursday, March 20, 2008

KESIHATAN IBU ANAK PERLU DIBERI TUMPUAN

BERITA HARIANCitra
Isnin (17/03/2008)

Oleh Rosliwaty Ramly

Laporan Unicef saran utamakan kelangsungan generasi muda demi masa depan lebih baik LAPORAN Perdana Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Unicef) - Kedudukan Kanak-kanak di Dunia yang dikeluarkan baru-baru ini menilai situasi kelangsungan kanak-kanak dan penjagaan kesihatan asas bagi ibu, bayi baru lahir dan kanak-kanak, menunjukkan kedudukan isu semasa mengecapi kemajuan memerlukan lebih banyak tumpuan.

Laporan global itu akan disiarkan di Malaysia sempena Hari Kesihatan Sedunia 2008, yang akan disambut dengan rasminya pada 7 April depan. Dengan lebih kurang 26,000 kanak-kanak di bawah umur lima tahun meninggal dunia setiap hari, dan tempoh tamat bagi Matlamat Pembangunan Milenium (MDG) 4 - yang bertujuan mengurangkan mortaliti kanak-kanak sebanyak dua pertiga antara 1990 dan 2015 semakin dekat, timbul soalan kritikal, khasnya bagaimana momentum terhadap kelangsungan maternal, bayi baru lahir dan kanak-kanak dapat dikekalkan serta kemajuan dipercepatkan dalam baki tempoh lapan tahun ini.

Wakil Unicef Malaysia, Youssouf Oomar, berkata kadar mortaliti kanak-kanak pada amnya diiktiraf sebagai petunjuk terbaik kesejahteraan penduduk kanak-kanak dan juga satu penilaian pembangunan keseluruhan sesebuah negara.

“Isu ini adalah kayu ukur sensitif pembangunan serta kesejahteraan sesebuah negara dan juga sebagai bukti keutamaan dan nilainya. Melabur dalam kesihatan kanak-kanak dan ibu adalah elemen penting dalam hak asasi dan satu-satunya cara pasti bagi sesebuah negara untuk menetapkan haluan menuju masa depan yang lebih baik,” katanya.

Di Malaysia, kesihatan ibu dan bayi menyaksikan penambahbaikan dramatik sepanjang era pasca kemerdekaan, dengan paras hari ini hampir sama dengan negara maju (sila lihat fakta). Menjelang 1990-an, nisbah mortaliti maternal (MMR) menyusut lagi dan kini berada di paras lebih kurang 33 bagi setiap 100,000 kelahiran hidup (lebih kurang 160 kematian maternal yang dilaporkan setiap tahun).

Pengalaman Malaysia yang disifatkan menakjubkan ialah dalam usaha mengurangkan mortaliti kanak-kanak dan maternal yang juga adalah hasil sinergi barisan luas dasar, strategi dan program yang sudah menangani capaian kepada khidmat penjagaan kesihatan menerusi dimensi sosioekonomi, budaya, pendidikan, gender dan kemiskinan.

Bagaimanapun, selepas mencapai paras yang rendah, aliran kebelakangan ini menunjukkan paras itu semakin mantap, sementara jurang bandar dengan luar bandar semakin ketara.

Punca utama kematian di Malaysia bagi kanak-kanak di bawah usia satu tahun adalah keadaan perinatal (tempoh masa antara tiga bulan sebelum kelahiran sehingga sebulan selepas kelahiran), sementara septisemia (pemusnahan tisu secara meluas akibat penyerapan bakteria penyebab penyakit atau toksin daripada edaran darah) dan pneumonia (radang paru-paru) adalah punca utama kematian kanak-kanak dalam kategori umur satu hingga lima tahun.

Dari segi mortaliti maternal atau keibuan, petunjuk proksi menunjukkan kadar lebih tinggi adalah di Sabah dan juga di kalangan penduduk Orang Asli di Semenanjung.

Pada masa sama, negara kini pada peringkat peralihan epidemiologi yang mana penyakit tidak berjangkit dan penyakit kelamin seperti HIV semakin meningkat, khasnya di kalangan wanita.

Berdasarkan kepada pengalaman lalu, laporan Unicef menunjukkan bagaimana pakar kesihatan maternal, bayi dan kanak-kanak semakin menumpukan pada satu set prinsip strategik bagi kesihatan dan kelangsungan kanak-kanak. Prinsip itu dikatakan boleh memberikan dorongan perlu untuk mencapai MDG berkaitan kesihatan.

Oomar berkata, peruntukan penjagaan kesihatan mestilah sesuai dengan had sumber manusia dan kewangan, konteks sosioekonomi, kapasiti sedia ada pada sistem kesihatan negara dan juga tindakan segera untuk mencapai keputusan.

“Satu kajian terhadap strategi ini menawarkan perspektif penting terhadap situasi semasa dan membantu dalam melangkah ke depan dalam usaha menentukan kelangsungan kanak-kanak.

“Cabarannya ialah untuk memastikan kanak-kanak dapat mencapai penjagaan kesihatan berterusan, bersama sokongan sistem kesihatan kebangsaan yang utuh serta pembabitan masyarakat tempatan,” katanya.- Bernama

FAKTA: Kesihatan ibu dan bayi di Malaysia

· Kadar mortaliti bawah lima tahun (U5MR) sudah menurun daripada 57 peratus bagi setiap 1,000 kelahiran hidup pada 1970, kepada 22 pada 1990 dan seterusnya 12 pada 2006.
· Kadar mortaliti bayi (IMR) menyusut daripada 41 bagi setiap 1,000 kelahiran hidup pada 1970, kepada 16 pada 1990 dan seterusnya 10 pada 2006.
· Nisbah mortaliti maternal (MMR) menurun ke separuh antara 1957 dan 1970 apabila ia menyusut daripada sekitar 280 kepada 141 bagi setiap 100,000 kelahiran hidup.

Prinsip strategik bagi kesihatan dan kelangsungan kanak-kanak:

· Mengiktiraf keperluan bagi perkongsian masyarakat untuk membantu keluarga dalam menambah baik amalan penjagaan kesihatan bagi kanak-kanak, khasnya di negara dengan sistem penjagaan kesihatan yang lemah.
· Menyediakan penjagaan berterusan bagi ibu, bayi baru lahir dan kanak-kanak dengan menyusun sistem penyampaian pada titik penting kitaran hayat.
· Memperkukuhkan sistem penjagaan kesihatan dengan menawarkan sokongan lebih utuh bagi negara membangun dalam perancangan negara, dasar dan rangka kerja belanjawan bagi MDG berkaitan dengan kesihatan.
· Meningkatkan usaha pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa dengan tumpuan utuh terhadap penyelarasan, pengharmonian dan keputusan.

Sila Layari :
http://www.xmpsp.com/

No comments: